3 OGOS : Sebanyak 99,693 kandungan berunsur penipuan dalam talian diturunkan tahun ini, setakat bulan lalu.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata angka itu melepasi jumlah keseluruhan kandungan diturunkan pada tahun lepas iaitu sebanyak 98,503 kandungan.
“Sebagai perbandingan, sebanyak 63,652 kandungan diturunkan pada 2024, diikuti 6,297 pada 2023 dan 242 pada 2022.
“Ini menunjukkan keselamatan dalam talian merupakan satu aspek perlu diberikan fokus dan perhatian sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 di Dewan Negara, hari ini.
RUU itu diluluskan hari ini selepas dibahaskan 15 senator.
Melalui pindaan itu, kerajaan memperkenalkan Inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) Kebangsaan bagi tujuan pemeliharaan keselamatan negara.
Selain itu, ia turut memberi asas perundangan lebih jelas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyokong pelaksanaannya.
Menurut Nie Ching, pindaan itu membolehkan menteri mengarahkan MCMC menyokong inisiatif berkaitan penggunaan perkhidmatan rangkaian atau aplikasi untuk melaksanakan Inisiatif PPS Kebangsaan.
Menurutnya, rayuan boleh dikemukakan kepada Tribunal Rayuan yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Tinggi jika ada mana-mana pihak yang terkesan dengan keputusan atau arahan MCMC di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Namun katanya, mana-mana pihak yang masih tidak berpuas hati masih boleh membawa perkara berkenaan ke mahkamah bagi semakan kehakiman.
Dewan Rakyat pada 15 Julai lalu meluluskan RUU tersebut dengan pindaan melibatkan dua fasal termasuk meminda Seksyen 202 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi memperjelas asas perundangan kepada MCMC untuk menyokong pelaksanaan Inisiatif PPS Kebangsaan.