JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
Kadar pengangguran Jun kekal 3.0 peratus dengan 517.8 ribu penganggur, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Statistik ini diterbitkan dalam laporan Statistik Tenaga Buruh, Jun 2026 dan Suku Tahun Kedua 2026. Laporan tersebut memberikan gambaran mengenai penawaran buruh di Malaysia, berdasarkan data daripada Survei Tenaga Buruh yang dijalankan oleh DOSM.
Dalam kenyataan hari ini, DOSM melaporkan pasaran buruh Malaysia pada Jun 2026 terus menunjukkan momentum yang positif, disokong oleh ekonomi negara yang kekal berdaya tahan. Peningkatan guna tenaga yang berterusan serta kadar pengangguran yang stabil mencerminkan prestasi pasaran buruh yang menggalakkan. Seterusnya, bilangan tenaga buruh merekodkan peningkatan marginal bulan ke bulan sebanyak 0.04 peratus kepada 17.34 juta orang pada Jun 2026 (Mei 2026: 17.34 juta orang). Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) kekal pada 70.9 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.
Bilangan penduduk bekerja pada Jun 2026 meningkat 0.01 peratus kepada 16.83 juta orang (Mei 2026: 16.82 juta orang). Bilangan penganggur turut meningkat daripada 513.4 ribu orang kepada 517.8 ribu orang, naik sebanyak 0.9 peratus bulan ke bulan. Kadar pengangguran bagi Jun kekal pada 3.0 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.
Kategori pekerja merangkumi 75.0 peratus daripada jumlah penduduk bekerja, meningkat 0.02 peratus, mencecah 12.61 juta orang pada Jun 2026 (Mei 2026: 12.61 juta orang). Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja sendiri bertambah secara marginal 0.04 peratus mencatatkan 3.15 juta orang (Mei 2026: 3.15 juta orang).
Mengikut aktiviti ekonomi, sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah guna tenaga pada bulan tersebut, terutamanya dalam aktiviti Pengangkutan & penyimpanan, Penginapan dan aktiviti perkhidmatan makanan & minuman, serta Perdagangan borong & runcit. Guna tenaga dalam sektor Pembuatan dan Pembinaan turut merekodkan pertambahan, manakala sektor Pertanian serta Perlombongan & pengkuarian menurun.
Statistik pengangguran pada bulan Jun 2026 menunjukkan penganggur aktif, atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan sedang aktif mencari pekerjaan merangkumi 79.4 peratus daripada jumlah penganggur. Kumpulan ini meningkat 0.7 peratus kepada 410.9 ribu orang, berbanding 408.0 ribu orang pada Mei 2026. Mengikut tempoh bagi penganggur aktif, 63.6 peratus telah menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.3 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun. Begitu juga, bilangan penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, naik sebanyak 1.4 peratus kepada 106.9 ribu orang berbanding 105.5 ribu orang pada Mei 2026.
Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun pada Jun 2026 kekal pada 10.2 peratus, dengan seramai 292.2 ribu penganggur belia direkodkan (Mei 2026: 291.6 ribu orang). Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun tidak berubah pada 6.3 peratus, mencatatkan 400.8 ribu penganggur belia (Mei 2026: 396.0 ribu orang).
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada bulan tersebut meningkat 0.1 peratus kepada 7.11 juta orang (Mei 2026: 7.10 juta orang). Komposisi terbesar penduduk di luar tenaga buruh ialah kerja rumah/tanggungjawab keluarga dengan sumbangan 43.3 peratus, diikuti oleh bersekolah/latihan pada 40.3 peratus.
Prestasi pasaran buruh Malaysia pada suku tahun kedua 2026 menunjukkan bahawa tenaga buruh terus berkembang, meningkat sebanyak 0.3 peratus kepada 17.28 juta orang (ST1 2026: 17.23 juta orang). KPTB kekal pada 70.9 peratus, sama seperti pada suku tahun sebelumnya. Mengikut jantina, KPTB lelaki turut kekal tidak berubah pada 83.3 peratus, manakala KPTB perempuan meningkat kepada 57.0 peratus (ST1 2026: 83.3%; 56.8%). Selaras dengan pertumbuhan tersebut, bilangan penduduk bekerja turut meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.77 juta orang, berbanding 16.73 juta orang pada suku tahun pertama 2026.
Bilangan penganggur bertambah 0.6 peratus kepada 509.7 ribu orang, mencatatkan kenaikan 0.1 mata peratus kadar pengangguran kepada 3.0 peratus (ST1 2026: 506.5 ribu orang; 2.9%).
Bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu menurun sebanyak 0.7 peratus kepada 230.0 ribu orang pada suku tahun kedua 2026 (ST1 2026: 231.6 ribu orang).
Begitu juga, bilangan penduduk yang bekerja kurang daripada 30 jam seminggu serta mampu dan sanggup menerima tambahan jam bekerja, atau diklasifikasikan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan masa, berkurang sebanyak 1.2 peratus kepada 121.9 ribu orang, mencatatkan kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa sebanyak 0.7 peratus (ST1 2026: 123.3 ribu orang; 0.7%).
Sementara itu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, yang merujuk kepada individu berpendidikan tertiari namun bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah, naik sebanyak 0.7 peratus kepada 1.95 juta orang pada suku tahun kedua 2026, manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kekal pada 35.2 peratus (ST1 2026: 1.93 juta orang; 35.2%).
Di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya terus merekodkan kadar pengangguran terendah pada suku tahun kedua 2026 iaitu 1.3 peratus, diikuti oleh negeri Melaka dan Pahang iaitu pada 2.0 peratus dan Selangor dengan kadar pengangguran sebanyak 2.1 peratus. Pada masa yang sama, lima negeri merekodkan KPTB melebihi kadar nasional, dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan kadar tertinggi pada 79.4 peratus, diikuti oleh negeri Selangor (77.9%) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (76.0%).
Secara keseluruhannya, prospek ekonomi dan pasaran buruh Malaysia mulai Julai 2026 dan seterusnya dijangka kekal positif, disokong oleh kedudukan ekonomi domestik yang relatif stabil, aktiviti pelaburan yang berterusan serta daya tahan pasaran buruh. Walau bagaimanapun, ketidaktentuan yang berpanjangan dalam pasaran tenaga global, perkembangan geopolitik dan kedudukan perdagangan luar boleh memberi tekanan kepada kos perniagaan dan keputusan pengambilan pekerja sekiranya risiko tersebut berlarutan. Keupayaan ekonomi untuk mengekalkan momentum pertumbuhan yang stabil dan pengurusan risiko ini akan semakin bergantung kepada kualiti pelaburan, peningkatan produktiviti, keterjaminan tenaga serta keupayaan pengadaptasian tenaga kerja. Senario ketika ini menunjukkan bahawa pengukuhan hubungan antara pelaburan, pembangunan kemahiran dan pewujudan pekerjaan berkualiti amat penting dalam mengekalkan daya tahan pasaran buruh serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif pada tempoh akan datang.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang melaksanakan Banci Ekonomi 2026 (BE2026), dengan tema “Data Nadi Ekonomi Rakyat”. Pelaksanaan Banci Ekonomi kali keenam ini berlangsung dari 5 Januari hingga 31 Oktober 2026. BE2026 bertujuan untuk mengumpul data yang menyeluruh dan berstruktur daripada semua pertubuhan perniagaan berdaftar dan tidak berdaftar di Malaysia, bagi menilai prestasi, struktur serta ciri-ciri ekonomi negara secara komprehensif dan berasaskan bukti.
OpenDOSM NextGen adalah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
