14 OGOS : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengesyorkan had kelayakan subsidi petrol Budi MADANI RON95 (BUDI95) dikembalikan kepada 300 liter sebulan untuk rakyat di negara ini.
Ketuanya, Muhammad Kamil Ahmad Munim turut mencadangkan peningkatan kepada 350 liter bagi golongan berkeperluan mobiliti tinggi berdasarkan data penggunaan.
Menurutnya, cadangan itu mengambil kira penurunan harga minyak dunia dan ruang fiskal negara yang dilihat membolehkan kerajaan meningkatkan semula had subsidi berkenaan.
“Kita bukan meminta subsidi tanpa had, kita meminta dasar yang memahami kehidupan rakyat kerana reformasi subsidi mesti bergerak bersama dengan reformasi untuk memberi manfaat kepada rakyat.
“Jika rakyat diminta berkorban, rakyat berhak melihat dividen daripada pengorbanan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres Nasional AMK di Melaka, malam tadi.
Selain itu, Kamil berkata dasar perlindungan Bumiputera juga perlu ditambah baik supaya generasi akan datang bukan sekadar menerima perlindungan malah mampu menjadi pemilik dalam bidang strategik termasuk rumah, hartanah, saham, syarikat, harta intelek dan teknologi.
“Anak Melayu mesti berada dalam kecerdasan buatan, semikonduktor, teknologi hijau, bioteknologi, aeroangkasa, kejuruteraan dan keselamatan siber.
“Kita tidak mahu anak Melayu sekadar menjadi pengguna teknologi yang dicipta orang lain, kita mahu mereka menjadi pencipta,” katanya.