10 SEPT : Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim didakwa menandatangani Proklamasi Pemecatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir secara rela dan dalam keadaan sedar.
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Undang diberhentikan Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong menegaskan dakwaan Ismail kononnya dipaksa untuk menandatangani dokumen itu merupakan satu pemikiran terkemudian (afterthought).
“Tiada keadaan yang berlaku pada malam itu yang mendorong ke arah elemen paksaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan untuk membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Seremban, hari ini.
Terdahulu, Ismail mendakwa beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi yang tular itu secara paksaan dan tanpa kerelaan.
Dalam pada itu, Khairul Azam menjelaskan Ismail diberi penjelasan sebelum bersetuju dan menandatangani dokumen tersebut pada 3 Ogos lalu ketika majlis makan malam bersama Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar di Istana Laguna Biru yang turut dihadiri peguamnya, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.
Acara itu turut dihadiri Datuk Undang Jelebu, Undang Johol, Undang Rembau, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
“Dalam majlis berkenaan, kesemua Datuk Undang yang hadir bersama Tunku Besar Tampin memberikan restu dengan lantikan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang ke-9 dan mendoakan beliau dan kepimpinan negeri baharu dapat memulihkan krisis adat di Negeri Sembilan.
“Selepas diperjelaskan alasan-alasan pemecatan Tuanku Mukhriz berkenaan maka Ismail bersetuju menandatangani Proklamasi Pemecatan Tuanku Mukhriz dengan kehadiran (peguam) Abu Bakar.
“Kami menyatakan Menteri Besar bertindak menandatangani Proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu berkenaan secara rela hati dan tanpa paksaan dengan kehadiran Abu Bakar, yang sentiasa bersama beliau pada setiap masa di majlis berkenaan,” katanya.
Katanya, Ismail juga dimaklumkan Instrumen Proklamasi berkenaan memerlukan tandatangan Menteri Besar menurut Perkara 10(1)(b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.