17 SEP : “Saya jaga kepentingan parti saya.” Demikian penegasan dibuat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, hari ini.
Beliau bertegas kesemua parti di negara ini bebas untuk menyatakan hasrat bertanding di mana-mana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Menurut Ketua Menteri Melaka itu, penentuan bilangan kerusi hanya akan diputuskan selepas rundingan dengan pihaknya.
“Terserah pada dia, nak bertanding mana pun ikut dia punya suka. Saya tidak boleh nak larang sebab saya menjaga kepentingan parti saya. Saya tidak jaga kepentingan parti orang lain.
“Jadi kalau tertakluk kepada persetujuan antara kedua-dua parti baru kita boleh putuskan. Dia nak bertanding 10 ke, 20 ke…terpulang kepada mereka. Itu parti dia, saya jaga kepentingan parti saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Powering Knowledge Petrosains @ School di Sekolah Kebangsaan Tanjung Bidara, Masjid Tanah, hari ini.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata hasil rundingan itu akan dimaklumkan kelak.
“Pentas demokrasi Melaka terbuka kepada mana-mana parti yang dah menawarkan diri bertanding di mana-mana tempat sebelum ada rundingan dengan pihak saya.
“Bergantung kepada perbincangan nanti, hasilnya nanti kita akan maklumkan,” katanya.
Sebelum ini, Ab Rauf sempat berseloroh ‘tinggal satu Jumaat lagi’ susulan spekulasi tarikh pembubaran DUN Melaka.

OLEH: LYAA ANDRIANA