17 SEPT : Malaysia bersedia menghantar bantuan ke Indonesia bagi menangani kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di beberapa negara jiran ketika ini tertakluk kepada keizinan republik berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia melibatkan aset sebuah pesawat Bombardier CL-415MP, tiga helikopter serta 52 anggota.
Cadangan itu katanya sudah disuarakan kepada Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka dalam pertemuan di Istana Wakil Presiden, Jakarta, hari ini.
“Pesawat Bombardier itu akan digunakan untuk membawa air dari tasik, laut atau sungai sebelum disiram ke kawasan yang terbakar, manakala tiga helikopter turut disediakan untuk melaksanakan operasi sama.
“Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini. Setakat ini belum dapat lagi (kebenaran).
“Tadi saya bawa ke Gibran dan beliau akan bawa ke Prabowo untuk persetujuan daripada pemerintah Indonesia. Kami mahu membantu Indonesia untuk sama-sama menangani masalah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan rasminya ke negara itu, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, anggota tersebut melibatkan agensi pengurusan bencana termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia amat prihatin terhadap masalah kebakaran hutan di Indonesia yang berlaku setiap tahun, khususnya di Kalimantan dan Sumatera, yang turut menyebabkan jerebu merentas sempadan ke negara ini.
Jelasnya, bantuan itu bukan bertujuan mencampuri urusan Indonesia sebaliknya bagi berganding bahu menangani masalah jerebu yang sudah semakin meluas.
“Kami tidak berhasrat untuk campur dalam hal ehwal Indonesia tetapi kami ingin membantu supaya masalah jerebu yang datang ke Sarawak khususnya itu dapat diselesaikan segera.
“Pada masa sama, kita akan terus membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia melalui langkah-langkah hubungan diplomatik yang khusus kerana masalah ini berlaku setiap tahun,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua negara juga perlu mengelakkan sebarang tindakan saling menyalahkan antara satu sama lain, sebaliknya memberi tumpuan kepada penyelesaian dan langkah mitigasi bagi mengelakkan masalah sama berulang.
“Paling penting bagi kita ialah menyelesaikan masalah ini sebelum ia berlaku setiap tahun. Ertinya perlu ada pelan mitigasi atau perancangan supaya ia tidak berlaku,” katanya lagi.
