19 SEPT : Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) melabuhkan tirai hari ini usai jelajah ke semua 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata angka 28 cukup bermakna kerana program itu berjaya membawa jentera kerajaan negeri turun padang ke setiap DUN bagi mendengar sendiri permasalahan dan keperluan rakyat.
“28 DUN sudah kita masuk, 28 DUN kita sudah santuni dan 28 DUN kita sudah dengari denyut nadi rakyat.
“WRUR mungkin sudah selesai merentasi 28 DUN, tetapi amanah dan tanggungjawab kita kepada rakyat Melaka tiada garis penamatnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan WRUR Peringkat Negeri Melaka dan Pesta Pantai Tanjung Bidara serta Perasmian Festival Seni Selat dan Sungai Melaka 2026 di Lapangan Airstrip Tanjung Bidara, hari ini.
Menurut Ab Rauf, perjalanan WRUR yang berlangsung kira-kira dua tahun itu menyaksikan seluruh jentera pentadbiran negeri turun ke pelbagai kawasan, termasuk taman perumahan, pesisir pantai dan kawasan pedalaman.
Katanya, penutupan program itu bukan bermakna kerajaan negeri boleh berhenti turun padang atau mengambil mudah aduan yang dibangkitkan rakyat.
“Selagi ada rakyat yang memerlukan, selagi ada masalah rakyat yang belum dirungkai, selagi ada suara rakyat yang belum didengarkan, selagi itulah kita mesti terus turun, terus menyantuni serta terus bekerja,” katanya.
Sementara itu pada sidang media terdahulu, Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara menegaskan keutamaan beliau ketika ini adalah menerajui pentadbiran negeri dan memastikan pembangunan terus dilaksanakan serta menjaga kebajikan rakyat.
Menurutnya, beliau tidak mahu terheret dengan spekulasi mengenai perkembangan politik sebaliknya mahu terus memberi tumpuan kepada Melaka dan rakyat.
“Saya tidak mahu komen lebih tetapi apa pun Melaka adalah tumpuan baharu politik setelah beberapa perkembangan dalam politik ini berubah.
“Jadi siapa juga hendak mengukur kedudukan politik masa depan negara berdasarkan daripada keadaan politik di Melaka, terserah kepada kebijaksanaan serta pemikiran masing-masing,” katanya.
Menurut Ab Rauf, fokus beliau kekal kepada pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat Melaka.
Beliau sebelum itu diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO yang menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai penanda awal untuk melihat reaksi politik dan awam susulan perkembangan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.
