26 SEPT : “Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur?”. Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjelaskan pendiriannya berhubung kemelut membabitkan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Anwar berkata sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan dan undang-undang tanpa campur tangan kerajaan Persekutuan.
“Undang ambil keputusan. Ada pihak yang menyokong mereka, bagi pandangan, tak ada masalah. Saya tak mahu campur.
“Tapi Undang itu pun, yang mana sah, yang mana tak sah? Pilih, selesaikan yang itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.
Anwar berkata sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan Malaysia tidak membenarkan kedudukan seseorang Raja diubah atau digulingkan sewenang-wenangnya.
Katanya, sebarang tindakan berkaitan kedudukan Raja perlu berlandaskan peruntukan Perlembagaan negeri.
“Bincanglah cara elok. Saya tak setuju semudah-mudah nak guling Raja. Tak boleh sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas,” katanya.
Anwar berkata Perdana Menteri dan jemaah menteri juga mempunyai batas kuasa yang ditetapkan Perlembagaan, termasuk dalam perkara berkaitan institusi Raja-Raja Melayu.
“Perdana Menteri itu ketua eksekutif mentadbir negara. Had dia apa? Dia tidak boleh pinda Perlembagaan soal Islam, soal bahasa Melayu, soal hak semua orang Melayu, soal Raja-Raja,” katanya.
Beliau berkata prinsip berkenaan perlu dipertahankan bagi memastikan sistem Raja Berperlembagaan tidak terhakis akibat tindakan yang tidak mengikut lunas Perlembagaan.
“Kalau Raja ini kita boleh jatuhkan dengan mudah, sistem Raja akan pupus di negara kita tapi saya faham, rakyat terutamanya orang Melayu dan banyak rakyat Malaysia…orang Cina, India pun tak mahu sistem ini digugat,” katanya.
Anwar berkata isu membabitkan kedudukan Raja juga tidak wajar dilihat semata-mata sebagai isu politik kerana ia berkait dengan sistem pemerintahan negara.
“Kalau kita orang Melayu, dalam soal Raja Melayu jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana?
“Ini masalah kita kerana faktor kebencian, geram… soal perbezaan ini yang menyebabkan kita hilang pertimbangan dan hilang siuman,” katanya.
Terkini, pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan kini diwartakan secara rasmi pada Khamis.
Pada 16 September, barisan Exco Negeri Sembilan itu memutuskan sebulat suara bahawa proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah.
Namun pada 17 September 2026, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran negeri tidak akan mewartakan atau mengambil tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan kesemua exco berkuat kuasa, serta-merta pada 20 September lalu namun Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim menegaskan kesemua exco tersebut masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.