3 OKT : Melaka menjadi tuan rumah sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 yang dianjurkan sebagai penghargaan terhadap golongan berusia serta peranan mereka dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Lebih daripada sekadar mengenang jasa, sambutan itu turut membawa mesej supaya warga emas terus diberi ruang untuk berkongsi pengalaman dan menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, warga emas mempunyai pengalaman, kebijaksanaan dan sumbangan yang wajar terus dihormati.
“Mereka bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dihormati dan diberi ruang untuk berkongsi pengalaman serta terus menyumbang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sambutan bertemakan ‘Warga Emas Disayangi, Negara Harmoni’ itu berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Warga Emas 2026 kepada Syed Amran Syed Omar sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan pencapaiannya.
Turut disampaikan penghargaan Prihatin Warga Emas kepada pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, sektor swasta dan majikan.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sambutan tahun ini turut menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai perubahan demografi, selain menggalakkan penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak dalam menyokong kesejahteraan warga emas.
Antara inisiatif yang terus dilaksanakan termasuk Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN), Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), PAWE@3A, program kesukarelawanan serta platform digital.
Sambutan kali ini berlangsung dalam konsep karnival dengan pelbagai aktiviti, program dan pengiktirafan pencapaian warga emas, selain menghimpunkan sokongan kementerian, agensi, NGO, sektor swasta, komuniti dan individu.
