KENYATAAN MEDIA
LEMBAGA TABUNG HAJI
Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan bahawa sistem dan perkhidmatan utamanya telah kembali beroperasi selepas pemeriksaan keselamatan menyeluruh, pengukuhan kawalan dan langkah pemulihan sistem dilaksanakan.
TH kesal atas serangan siber terhadap sistemnya yang menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pendeposit. Demi melindungi simpanan dan maklumat peribadi pendeposit, TH mengambil langkah menghentikan sementara operasi sistem dan perkhidmatan di semua saluran pada 8 Oktober 2026.
TH memahami kebimbangan pendeposit, khususnya mereka yang mempunyai urusan kewangan mendesak, dan memohon maaf atas kesulitan yang timbul.
Sejak insiden tersebut, pasukan dalaman TH telah bekerjasama dengan pakar luar serta pihak berkuasa keselamatan siber negara untuk menyiasat kejadian, menangani ancaman dan memulihkan sistem.
Serangan ini merupakan perbuatan jenayah terhadap TH dan negara yang bertujuan menjejaskan operasi serta perkhidmatan. TH telah membuat laporan polis dan melaporkan perkara ini kepada Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Hasil usaha bersama ini, cawangan TH di Kedah, Terengganu dan Kelantan telah kembali beroperasi mulai Ahad, 11 Oktober 2026, manakala semua cawangan di negeri-negeri lain dibuka seperti biasa hari ini. Perkhidmatan melalui bank-bank rakan strategik TH juga telah kembali aktif.
Bagi THIJARI, semua fungsi telah kembali beroperasi kecuali penetapan semula kata laluan, pendaftaran pengguna baharu dan pembukaan akaun secara dalam talian. Ketiga-tiga fungsi ini masih memerlukan tindakan pemulihan lanjut sebelum dapat diaktifkan semula. Perkembangan mengenainya akan dimaklumkan melalui saluran rasmi TH dari semasa ke semasa.
TH memberi jaminan bahawa simpanan pendeposit adalah selamat. Pemantauan rapi serta pengukuhan keselamatan akan diteruskan bagi memastikan sistem dan perkhidmatan yang diaktifkan semula beroperasi dengan selamat dan lancar. Pendeposit yang mengesan sebarang transaksi atau perkara luar biasa pada akaun mereka diminta segera memaklumkannya kepada TH. Bagi sebarang pertanyaan, keraguan atau bantuan, sila hubungi Pusat Perhubungan TH (THCC) di 03-6207 1919.
TH merakamkan penghargaan atas kesabaran, kerjasama dan sokongan pendeposit sepanjang tempoh pemulihan ini. Sekali lagi TH memohon maaf dan amat kesal atas apa yang telah berlaku, namun ia terpaksa dilakukan demi keselamatan simpanan pendeposit. Keselamatan simpanan dan kepentingan pendeposit kekal menjadi keutamaan TH.