12 OKT : Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sah tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijadual berlangsung mulai 13 hingga 15 Oktober ini.
Istana Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan baginda memberikan tumpuan kepada urusan negeri, khususnya Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu.
Pada masa sama, Istana Negeri Sembilan menjelaskan keberangkatan menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja tidak memerlukan jemputan, susulan laporan media yang mendakwa baginda menerima jemputan ke mesyuarat berkenaan.
Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Tuanku Muhriz juga tidak menerima sebarang surat atau warkah jemputan daripada Pengerusi Mesyuarat, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menghadiri Mesyuarat Pra-Majlis Raja-Raja.
“Namun demikian, Tuanku telah memutuskan untuk tidak berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan akan memberikan tumpuan kepada urusan negeri di Negeri Sembilan, iaitu Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang Luak Jelebu,” menurut kenyataan itu.
Istana Negeri Sembilan turut menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung perkara berkenaan kepada mana-mana pihak atau organisasi media sebelum ini.
Penjelasan itu susulan laporan media yang menyebut Tuanku Muhriz dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) yang diadakan di Melaka mulai esok, ketika krisis institusi diraja negeri itu masih belum menemui penyelesaian.
Menurut laporan Straits Times Singapura, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang dijadual mempengerusikan mesyuarat berkenaan hingga 15 Oktober, menjemput Tuanku Muhriz untuk hadir.