3 NOV : Kerajaan Malaysia tidak akan mengekstradisi pendakwah, Dr Zakir Naik ke India.
Pada masa sama, Malaysia juga tidak mempunyai sebarang komitmen untuk menyerahkan Dr Zakir kepada negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan hak Malaysia mengikut Artikel 6 Triti Ekstradisi bersama India yang ditandatangani pada 2010, selain peruntukan Akta Ekstradisi 1992.
“Kerajaan Malaysia telah memutuskan untuk tidak mengekstradisi Dr Zakir Naik ke India.
“Oleh itu, tiada sebarang komitmen diberikan untuk mengekstradisi beliau,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen yang disiarkan, hari ini.
Selain itu, beliau juga berkata, kerajaan tidak menerima sebarang permohonan ekstradisi baharu daripada India berhubung pendakwah berkenaan.
“Buat masa ini, tiada sebarang permohonan ekstradisi terbaharu yang diterima oleh pihak kerajaan,” katanya.
Menurutnya, permohonan rasmi ekstradisi Dr Zakir daripada Kerajaan India diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik bagi memohon pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020.
Saifuddin menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) yang meminta penjelasan mengenai status terkini permohonan ekstradisi Dr Zakir oleh India.
Ahmad Marzuk turut meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan tarikh penerimaan permohonan rasmi terbaharu, selain menjelaskan sama ada dokumen serta keterangan dikemukakan memenuhi kehendak Akta Ekstradisi 1992 dan perjanjian Malaysia-India.
Soalan itu turut menyentuh sama ada kerajaan memberikan sebarang komitmen berhubung ekstradisi pendakwah terbabit.
Pada September lalu, media melaporkan gesaan supaya kerajaan menjelaskan kedudukan perundangan serta diplomatik berhubung permohonan ekstradisi Dr Zakir yang dibincangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi.
India berhasrat untuk mengekstradisi Dr Zakir yang kononnya dikehendaki atas dakwaan pengubahan wang haram serta ucapan berunsur kebencian.