11 SEPT : Rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Indonesia khususnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta (CGK) dinasihatkan menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dalam kenyataan memaklumkan langkah itu susulan penyesuaian jadual penerbangan yang masih dilakukan syarikat penerbangan, terutama penerbangan keluar dari Jakarta.
“CGK terus kembali beroperasi sejak 8 September 2026. Syarikat-syarikat penerbangan dilaporkan masih membuat penyesuaian terhadap jadual penerbangan dan penumpang khususnya penerbangan keluar Jakarta,” menurut kedutaan itu dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, gangguan operasi penerbangan berlaku susulan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau di Provinsi Lampung yang menyebabkan abu vulkanik menjejaskan operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang Indonesia.
Kedutaan turut memaklumkan pihaknya terus memantau rakyat Malaysia yang melaporkan diri sebagai terkandas pada 6 dan 7 September susulan gangguan penerbangan.
Sebahagian daripada mereka sudah memaklumkan selamat kembali ke Malaysia.
Sementara itu, aktiviti Gunung Anak Krakatau masih berada pada Tahap III (Siaga) dengan aktiviti letusan masih direkodkan pihak berkuasa Indonesia pada 10 September.
Kedutaan turut memaklumkan gunung berapi aktif lain yang berada pada Tahap II (Waspada) ialah Gunung Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur dan Gunung Ibu di Maluku Utara.
Gunung Semeru di Jawa Timur pula berada pada Tahap III (Siaga).
Bagi mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +62 21 522 4947/4948 atau WhatsApp/telefon +62 813 8081 3036.