16 SEPT : Kebocoran gas di dapur antara perkara ditakuti orang ramai selepas insiden letupan yang berlaku di Alor Gajah, baru-baru ini.
Namun kini, Komuniti Seri Jeram lebih yakin dalam menghadapi situasi itu menerusi pendedahan keselamatan kebakaran yang disampaikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka.
Ketua Zon 2 JBPM Negeri Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata modul pencegahan kebakaran dapur dan pengendalian kebocoran gas petroleum cecair (LPG) diperkasakan susulan beberapa kes kebakaran serta kebocoran gas di negeri ini yang mengakibatkan kecederaan parah kepada mangsa.
“Sebelum ini program kesedaran kita buat di tempat besar, tetapi dengan ilham program kerajaan negeri ini, kita dapat turun terus secara terus kepada komuniti akar umbi dan orang kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Keselamatan Bersama Komuniti di Balairaya Seri Jeram yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, JBPM dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Zulkhairani berkata, JBPM akan meneruskan kerjasama dengan agensi dan kerajaan bagi memperluas pendidikan keselamatan kebakaran serta aktiviti air dalam kalangan masyarakat.
“Program seperti ini memang kita tidak boleh berhenti dan perlu diteruskan menerusi pelbagai platform lain yang lebih rapat dengan komuniti.
“Selepas ini, kita akan terus selari memberi kesedaran mengenai kebocoran gas di rumah,” katanya.
Program hasil inisiatif Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi siri program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di 27 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu memberi ruang kepada anggota bomba menyampaikan mesej keselamatan terus kepada komuniti akar umbi.
Dalam program itu, penduduk turut mengambil bahagian dalam demonstrasi pemadaman api bagi mendapatkan pendedahan mengenai kaedah menangani kebakaran dengan betul.
OLEH : ANNISA’ AZLAN
