4 MEI : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) merancang untuk memperbanyak keluaran telur ayam gred khas yang ditawarkan dengan harga yang lebih murah.
Menteri, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata inisiatif itu susulan penamatan pemberian subsidi bagi sumber protein utama itu mulai 1 Ogos depan.
Katanya, inisiatif itu memberi peluang untuk rakyat mendapatkan bekalan telur dengan harga lebih murah selain menstabilkan harga.
“Kita juga nak memperbanyak keluaran telur ayam khas yang lebih murah (seperti pada) bulan Ramadan baru-baru ini dijual RM5 sepapan.
“Kali ini, tak tahu harganya macam mana tetapi kita yakin tidak akan naik melambung,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pakatan Harapan Terengganu, hari ini.
Terdahulu, KPKM mengumumkan kerajaan akan menamatkan pemberian subsidi telur sepenuhnya mulai 1 Ogos nanti dengan pengurangan 5 sen daripada 10 sen subsidi yang diberi kepada pengeluar sebelumnya, sejak 1 Mei lalu.
Kerajaan juga memberi jaminan harga telur tidak melambung susulan harganya tidak bolen dinaikkan sesuka hati.
Dalam pada itu, Mohamad berkata telur ayam yang ditawarkan dengan harga lebih kompetetif boleh didapati melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah seluruh negara.
Katanya, keputusan menarik subsidi itu dicapai secara libat urus bersama pihak berkepentingan.
“Kita berunding pertama dengan pengeluar telur ayam dan pemain industri. Kita juga buat secara soft landing, tak tarik secara mengejut. Maka saya yakin harga telur ayam tidak naik melambung,” katanya.
