1 JUL : Butiran terperinci rasionalisasi subsidi petrol RON95 sedang dimuktamadkan sebelum dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pelaksanaan rasionalisasi itu bagi memastikan negara mempunyai kekuatan fiskal untuk menjamin subsidi kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya.
Selain itu katanya, matlamat pelaksanaannya juga sama seperti diesel untuk membendung ketirisan.
“Pendekatan teliti yang sama digunakan untuk peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
“Ia mempelbagaikan hasil dan merupakan sebahagian daripada pengurusan perbelanjaan berhemat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Invest ASEAN-Malaysia 2025, hari ini.
Dalam pada itu, menurut Amir Hamzah tambahan hasil RM10 bilion dijangka dapat dikutip hasil peluasan SST meski terdapa beberapa pengecualian diberikan.
Selain itu, katanya, kerajaan menyasarkan defisit fiskal 3.8 peratus (%) bagi tahun ini dan ia selari dengan sasaran Akta Kewangan dan Tanggungjawab Awam 2023 mengurangkan defisit kepada 3% dalam tempoh sederhana.
“Ini akan dicapai melalui langkah meningkatkan hasil, kecekapan sistem cukai dan pematuhan pembayar cukai.
“Tahun ini kita melaksanakan peluasan SST dan rasionalisasi subsidi RON95, dan diharapkan ia akan menambah asas hasil negara bagi tempoh itu,” katanya.
Menyentuh Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bakal dibentangkan di Parlimen, Amir Hamzah berkata dua dokumen itu akan lebih pragmatik dan memacu kesinambungan kemajuan negara.
“Walaupun masih terlalu awal untuk berkongsi butirannya, saya boleh katakan bahawa ia akan menjadi satu lagi usaha kerajaan untuk menjamin masa depan ekonomi kita, bertindak balas terhadap halangan ekonomi dan membina masyarakat yang lebih adil dan saksama,” katanya.