11 FEB : Penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program BUDI MADANI 95 (BUDI95) dijangka mampu menjimatkan sehingga RM2.5 bilion, tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif kerajaan itu dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan di negara ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu juga dapat memberi manfaat yang disalurkan kembali kepada rakyat bagi mengurangkan beban kos sara hidup.
“Setakat ini penyasaran subsidi RON95 untuk 2026 dijangka menjimatkan RM2.5 bilion. Jadi Alhamdulillah kerana kejayaan itu kita boleh perkenalkan beberapa program untuk membantu rakyat termasuk STR (Sumbangan Tunai Rahmah) dan SARA (Sumbangan Asas Rahmah).
“Dua hari lalu, 22 juta rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas terima RM100 setiap individu melalui MyKad (melalui) SARA.
“Bayangkan dalam tempoh dua hari, kita telah belanjakan RM200 juta dan dua juta rakyat boleh menggunakannya.
“Ini satu kejayaan dalam kalangan penjawat awam juga dengan dasar yang lebih telus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang membangkitkan perincian penjimatan melalui pelaksanaan BUDI MADANI 95 sepanjang tahun lalu.
Kui Lun turut meminta Perdana Menteri menyatakan unjuran penjimatan bagi tahun ini serta kaedah dikembalikan kepada rakyat bagi meringankan kos sara hidup rakyat khususnya golongan B40 dan M40.
Dalam pada itu, Anwar berkata meski penyasaran subsidi itu mencabar namun Kerajaan MADANI beranggapan ia mekanisme terbaik ketika ini.
“Di bawah pentadbiran MADANI, kita memilih untuk akur kepada realiti dan berani menyasarkan subsidi di setiap peringkat secara berfasa, tanpa menjejaskan kebajikan rakyat terbanyak. Kita tak banyak pilihan kerana ketirisan akibat subsidi tak bersasar ini terlalu tinggi.
“Seperti mana saya pernah tegaskan di Parlimen sebelum ini kita tak memilih untuk menerima pendekatan Bank Dunia dan beberapa pakar ekonomi yang mahu kita laksanakan cara pengapungan.
“Bila harga diapungkan, sekitar RM13,000 untuk satu keluarga, selebihnya akan diberikan bantuan. Tetapi kita fikir ini hanya akan membebankan rakyat terbanyak,” katanya.