18 MAC : Kerajaan menyelaraskan harga pasaran bahan api secara berperingkat susulan kenaikan harga minyak mentah global yang sudah melebihi AS$100 setong sejak konflik Asia Barat tercetus.
Namun Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan Kerajaan MADANI masih mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter melalui BUDI95 bagi melindungi isi rumah.
Menurut MoF, RON97 naik 70 sen kepada RM4.55 seliter, RON95 tanpa subsidi kekal RM3.27 seliter, diesel di Semenanjung naik 80 sen kepada RM4.72 seliter sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.
“Selaras dengan perubahan harga bahan api global di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel berkuat kuasa mulai 19 Mac 2026 sehingga 25 Mac 2026,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, MoF berkata meski Malaysia negara pengeluar minyak namun produk petroleum bagi kegunaan domestik masih diperoleh melalui pasaran global.
Justeru itu katanya, harga bahan api domestik kekal dipengaruhi oleh pergerakan harga antarabangsa.
Namun MoF berkata, kerajaan memilih untuk tidak memindahkan sepenuhnya kenaikan harga tersebut kepada rakyat.
“Bagi melindungi rakyat daripada kesan kenaikan ketara harga minyak dunia, Kerajaan MADANI terus melaksanakan mekanisme sokongan bersasar.
“Melalui BUDI95, penerima yang layak akan terus dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter,” katanya.
Kementerian itu berkata, dengan keputusan mengekalkan harga BUDI95 pada RM1.99 seliter dan harga diesel pada RM2.15 seliter untuk pengangkutan awam dan sektor pengangkutan barangan darat, kerajaan perlu menanggung beban subsidi melebihi RM3 bilion sebulan.
Selain itu katanya, harga RON95 tanpa subsidi turut dikekalkan pada RM3.27 seliter bagi mengelakkan tekanan kos tambahan kepada rakyat berikutan perjalanan cuti perayaan.
“Langkah pengekalan subsidi ini adalah untuk memastikan persediaan rakyat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kekal lancar,” menurut kenyataan itu.
Pada masa yang sama, MoF berkata lebih 400,000 kenderaan daripada sektor pengangkutan awam dan sektor pengangkutan barangan darat seperti bas ekspres, teksi, lori dan treler barangan dan lain-lain yang kekal dilindungi melalui skim subsidi bersasar, termasuk Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi memastikan kos logistik dan pengangkutan tidak terjejas secara mendadak.
“Pendekatan bersasar ini membantu mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api global terhadap isi rumah, pengangkutan awam dan pengedaran barangan, sekali gus menyokong kestabilan harga keseluruhan dalam ekonomi.
“Pada masa yang sama, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan serta mengelakkan kenaikan harga yang tidak munasabah.
“Tindakan juga akan diperkukuh bagi membendung ketirisan dan penyeludupan rentas sempadan, khususnya berikutan perbezaan harga bahan api antara Malaysia dan negara jiran supaya setiap sen subsidi benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia,” menurut MoF.
Dalam pada itu, MoF berkata Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus harga bahan api domestik susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran minyak global.
“Walaupun berhadapan kenaikan harga minyak global, harga bahan api di Malaysia kekal antara yang lebih rendah di rantau ini hasil langkah Kerajaan MADANI mengekalkan sebahagian subsidi bagi melindungi rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi domestik,” kata MoF lagi.