30 APR : UMNO memutuskan untuk menghormati keputusan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Biro Politik UMNO Malaysia yang berlangsung pada Rabu.
Namun menurut Asyraf Wajdi, UMNO akan terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
“UMNO Malaysia juga telah mendengar penjelasan tuntas daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengenai tindakan ADUN-ADUN BN yang hilang kepercayaan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sikap beliau membelakangkan Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.
“UMNO Malaysia berpendirian untuk menghormati Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional yang kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar namun terus menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan bagi memastikan kestabilan dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu.
Asyraf Wajdi berkata UMNO Malaysia memandang serius perkembangan mutakhir yang melibatkan krisis Institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan hingga mencetuskan polemik besar dan salah faham serius di kalangan anggota komponen parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi menegaskan UMNO sentiasa berpegang teguh kepada asas Perlembagaan UMNO menurut Fasal 3.1 yang sentiasa mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kedaulatan negara.
Justeru itu, menurut Asyraf Wajdi, satu pertemuan segera antara Biro Politik UMNO dan Biro Politik Pakatan Harapan (PH) harus diadakan segera bagi merungkai beberapa isu yang melibatkan prinsip-prinsip perjuangan parti masing-masing.
“Ini seiring dengan Klausa 5(c) Perjanjian Persefahaman dalam membentuk Kerajaan Perpaduan yang menuntut segala isu dasar yang diperselisihkan diselesaikan dalam Majlis Perundingan,” katanya.