29 MEI : Oman sekali lagi diancam Amerika Syarikat (AS) jika membantu Iran dalam kutipan tol di Selat Hormuz.
Kali ini, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent mengancam untuk mengenakan sekatan kewangan terhadap sekutunya itu.
Bessent memaklumkan beliau sudah bercakap dengan duta Oman lebih awal semalam dan menerima jaminan tiada rancangan untuk mengenakan tol di laluan perairan penting itu.
“Saya memberitahunya bahawa perkara itu sama sekali tidak boleh diterima dan beliau tidak mahu mengambil risiko individu atau institusi kewangan Oman dikenakan sekatan,” katanya kepada media.
Menurut Bessent, AS tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang usaha melaksanakan kutipan tol di Selat Hormuz.
“Oman khususnya perlu tahu bahawa Perbendaharaan AS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam memudahkan kutipan tol di selat itu dan mana-mana rakan yang bekerjasama akan dikenakan penalti,” katanya dalam hantaran di X.
Oman sebelum ini menjadi orang tengah dalam rundingan antara Washington dan Tehran di Geneva sebelum perang tercetus.
Kelmarin, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan berkata akan memusnah Oman jika Muscat terlibat dengan kutipan tol itu.
Selain itu, Washington turut memperluas ancaman sekatan terhadap mana-mana pihak yang membayar caj itu.
Rundingan damai antara Iran dengan AS masih belum mencapai titik persefahaman setakat ini selepas ia berlarutan beberapa minggu.