10 SEPT : Pakatan Harapan (PH) tidak pernah mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dalam memberikan pengampunan termasuk melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata gabungan itu menghormati sepenuhnya kuasa dan autoriti berkenaan.
“Tak ada pertikaian. Yang kita bangkitkan adalah pandangan bahawa kita faham Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja mempunyai wewenang serta autoriti penuh untuk memberikan pengampunan. Itu memang telah diperakui dan tak pernah disentuh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 Negeri Selangor, hari ini.
Menteri Besar Selangor itu mengulas dakwaan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki semalam yang menyebut PH mempertikaikan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong.
Amirudin turut menegaskan PH tidak menghalang sebarang prosiding Lembaga Pengampunan yang akan berlangsung esok.
Sementara itu, beliau berkata pandangan akar umbi perlu dihormati susulan gesaan seorang pemimpin DAP Kuala Lumpur supaya anggota parti meletakkan jawatan dalam Kabinet sekiranya Najib diberikan pengampunan.
Amirudin berkata PH perlu meneruskan amanah rakyat selepas gabungan itu memperoleh jumlah kerusi tertinggi pada pilihan raya umum lalu dan diberi tanggungjawab mengemudi kerajaan.
“Kami sudah melaksanakannya dengan membawa kejayaan ekonomi, mengekalkan kestabilan dalam keadaan krisis merata-rata.
“Walaupun ada dua-tiga isu yang perlu ditangani, seperti isu 3R dan kepercayaan masyarakat Melayu, kami ada lagi berbaki setahun.
“Saya rasa kami harus melengkapkan amanah yang telah diberikan dan lakukan sebaik mungkin. Bersikap berputus asa bukanlah satu keputusan yang bijak di saat perlawanan belum berakhir,” katanya.