11 SEPT : Permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-63 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Mesyuarat berkenaan berlangsung hari ini dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan membebaskan 65 banduan pada 11 September 2026.
“Semua banduan bukan warganegara hendaklah dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 6 bulan selepas dibebaskan.
“Yang di-Pertuan Agong juga berkenan supaya permohonan pengampunan Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak ditangguhkan ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang akan diadakan kelak,” menurut kenyataan itu.
Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan kes SRC International.
Pada 2024, Lembaga Pengampunan sebelum ini memutuskan untuk mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Bekas Presiden UMNO itu memulakan hukuman penjara pada Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes berkenaan.