16 SEPT : Harga runcit RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 17 September hingga 23 September 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) berkata harga RON97 kini RM4.85 seliter, RON95 RM4.37 seliter dan diesel RM5.27 seliter.
Menurut MoF, kenaikan harga minyak susulan peningkatan serangan di Asia Barat yang mendorong harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong.
“Iran menyerang 10 kapal berhampiran Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas lima kapal tangki Iran, manakala serangan turut merebak ke Yaman dan infrastruktur tenaga Arab Saudi. Trafik kapal melalui Selat Hormuz merosot ke paras satu angka susulan peningkatan serangan tersebut.
“Keadaan bertambah buruk apabila serangan dron menyebabkan operasi saluran paip East-West Arab Saudi, antara laluan utama yang memintas Selat Hormuz, dihentikan sementara.
“Rundingan antara Iran dan negara-negara Teluk mengenai keselamatan laluan perkapalan turut ditangguhkan. Perkembangan ini mendorong harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 setong dan mencecah hampir AS$110 setong dalam tempoh pengiraan APM,” katanya.
Kementerian itu berkata kekangan bekalan minyak mentah serta gangguan kapasiti penapisan terus mengehadkan output produk petroleum bertapis, sekali gus memberi tekanan kepada harga petroleum dunia.
Kata MoF, peningkatan ketegangan di Asia Barat serta konflik Rusia-Ukraine berisiko menyebabkan ketidaktentuan harga petroleum berlarutan dalam tempoh mendatang.
Namun katanya, Kerajaan MADANI akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan global ini, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
“Pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.37 seliter. Ini bermakna Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.38 seliter, bersamaan 54% daripada harga tanpa subsidi.
“Penerima BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60% daripada harga tanpa subsidi,” menurut MoF.
Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.
Mulai 1 September 2026, had kelayakan asas bulanan BUDI95 dan BUDI Diesel dinaikkan semula kepada 300 liter.
Pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak turut menerima tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 400 liter sebulan.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MoF lagi.