28 SEPT: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang didakwa menggunakan isu kematian sebagai bahan ‘troll’ di media sosial.
Beliau juga menafikan ‘page’ yang menggunakan nama ‘UMNOMelakafans’ itu mempunyai kaitan dengan UMNO Melaka atau UMNO Malaysia.
Akmal berkata, kewujudan ‘page’ berkenaan dilihat sebagai usaha untuk memburukkan nama UMNO Melaka, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Untuk makluman ‘page’ UMNOMelakafans ini tiada kena mengena dengan UMNO Melaka mahupun UMNO Malaysia.
“Ini semua adalah kerja-kerja orang yang tidak bertanggungjawab dan ingin memburukkan nama UMNO Melaka khususnya menjelang PRN,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Akaun tersebut dilaporkan memuat naik komen mempertikaikan jasa dan lokasi persemadian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang dikebumikan di Pusara Negara, petang tadi.
Akmal berkata, UMNO bersedia berdepan sebarang usaha memburukkan nama parti dalam konteks politik, namun tindakan menjadikan kematian sebagai bahan troll tidak boleh diterima.
“Kalau bab politik nak burukkan nama lawan kita boleh hadap. Tetapi bila buat ‘troll’ tentang kematian, maka biadap dan bodoh namanya,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar pihak yang bertanggungjawab terhadap ‘page’ berkenaan menerima balasan atas tindakan mereka.
“Moga sesiapa yang bertanggungjawab atas page ini Allah berikan hukuman yang paling siksa di dunia dan akhirat,” katanya.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada jam 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun dan selamat dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20 kira-kira jam 6.38 petang mengikut Istiadat Pengebumian Bertaraf Pembesar Negara.
Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai kehilangan besar buat negara, dengan beliau dikenang sebagai tokoh perubatan dan wanita yang banyak menyumbang dalam bidang kesihatan ibu dan anak serta kerja-kerja kemasyarakatan.