1 NOV : Barisan Nasional (BN) Kota Melaka akan menggerakkan jentera bagi membantu calon-calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding sesuai dengan kerjasama terjalin antara kedua-dua parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Menurut Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, pucuk pimpinan PN dan BN semalam sudah bersetuju saling membantu untuk berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen berkenaan.
“Mereka sudah datang ke bilik Gerakan DUN dalam Kota Melaka termasuk di DUN Telok Mas, Duyong dan DUN yang lain. Mereka sudah membantu. BN akan gerakkan jentera untuk bantu rakan strategik kita di kawasan mereka bertanding,” katanya.
Pada pilihan raya kali ini, PN menamakan Albert Kok (Wawasan) bertanding di DUN Kesidang dalam Parlimen Kota Melaka manakala BN meletakkan Melvin Chua Kew Wae (MCA) di DUN Kota Laksamana, Datuk Mohd Noor Helmy Halim (DUN Duyong), Jasmine Lok (MCA-DUN Banda Hilir) dan Abdul Razak sendiri di DUN Telok Mas.
Mengulas mengenai kempen yang masuk hari ke dua, Abdul Razak atau Tok Ajak berkata, kempen pilihan raya sekarang hanya prosedur standard sahaja kerana kempen sebenar sudah bermula lima tahun lalu.
“Kita sudah mula sejak lima tahun lalu terutama sejak Datuk Seri Dr Abdul Rauf (Yusoh) jadi Ketua Menteri.
“Bermacam-macam program dan acara di bawah kepimpinan beliau. Begitu juga saya di DUN Telok Mas,” katanya kepada media di bilik gerakan BN Telok Mas, hari ini.
Ini katanya termasuk program untuk golongan remaja, orang muda dan belia seperti sukan serta riadah bagi mendekati golongan itu supaya mereka mengetahui apa sudah dilakukan kerajaan Melaka untuk rakyat.
