1 JAN: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berjaya mengutip sebanyak RM756 juta kutipan zakat sepanjang tahun 2020, sekali gus menjadi rekod pencapaian terbaik dalam sejarah penubuhannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, jumlah kutipan itu adalah melebihi sasaran, berbanding RM682 juta yang dikumpul pada tahun 2019.
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 11 peratus iaitu RM74 juta. Ini adalah pencapaian terbaik dalam sejarah penubuhan PPZ-MAIWP.
“Saya bersyukur kerana kutipan zakat menunjukkan, peningkatan amat luar biasa walaupun ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19. Justeru, saya amat terharu dan menghargai semua #heroasnaf kerana menunaikan kewajipan berzakat sepanjang 2020,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Zulkifli menambah, beliau bersama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memberikan komitmen untuk terus menyantuni asnaf dengan sebaiknya.
Beliau juga akan terus mempertahankan kredibiliti MAIWP sebagai institusi yang menguruskan zakat dengan penuh integriti.
“Insya-Allah, setiap asnaf akan terus dibela supaya semua mereka dapat keluar dari belenggu kemiskinan dan kesukaran hidup.
“Sehubungan itu, setiap sen yang diperoleh akan diagihkan seadilnya kepada mereka yang memerlukan, ” katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, pihaknya turut mengucapkan tahniah terhadap kesungguhan ditunjukkan oleh seluruh warga kerja PPZ-MAIWP termasuk Ahli Lembaga Pengarah PPZ-MAIWP yang diterajui Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dalam menggerakkan usaha dakwah zakat.