5 OGOS : Harga runcit RON95 dan diesel tanpa subsidi serta RON97 turun 5 sen seliter bagi tempoh 6 Ogos hingga 12 Ogos 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan keputusan itu susulan penurunan pada penghujung tempoh pengiraan harga berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) meski harga minyak mentah Brent melepasi AS$90 setong, minggu lalu.
“Harga RON97 RM4.35 seliter, RON95 RM3.77 seliter sementara diesel RM4.57 seliter,” umum MoF dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, harga petroleum bersubsidi masih dikekalkan.
Menurut MoF, melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel), rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut kenyataan itu lagi.
MoF berkata, harga petroleum kekal sensitif terhadap risiko gangguan bekalan sekiranya laluan perkapalan utama, khususnya Selat Hormuz dan Laut Merah terjejas susulan peningkatan konflik.
Katanya, selagi konflik tersebut belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu ketidaktentuan pasaran dunia.
“Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.
“Namun begitu, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi,” menurut MoF.
