3 DIS : Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkuat kuasa hari ini bagi tempoh dua tahun.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan media hari ini memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju atas pelantikan itu.
“Selain menerajui MIDA, Tengku Zafrul juga akan diberikan beberapa tanggungjawab tambahan yang sedang diperinci dan diumumkan kemudian oleh Perdana Menteri,” menurut kenyataan itu.
Tempoh penggal keduanya sebagai anggota Dewan Negara berakhir semalam dan ia merupakan jumlah maksimum penggal yang dibenarkan.
Beliau merupakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini.
MIDA sebelum ini diterajui Pengerusinya, Tan Sri Sulaiman Mahbob selama dua tahun dari 3 September 2022 hingga 2 September 2024.
MIDA merupakan agensi penggalakan pelaburan utama kerajaan untuk mengembangkan sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia.